Thursday, October 28, 2010

Pembudayaan Sains dan Teknologi: Kesan Pendidikan dan Latihan di Kalangan Belia di Malaysia

 
ROBIAH SIDIN
JURIAH LONG
KHALID ABDULLAH
PUTEH MOHAMED
ABSTRAK
Tujuan kajian ialah untuk menilai sejauh mana sistem pendidikan, formal dan tidak formal, berupaya mendidik dan melatih generasi muda untuk sains dan teknologi di Malaysia. Responden kajian terdiri daripada pelajar sekolah menengah, pelatih di institusi-institusi kemahiran, guru dan pengajar mereka. Umumnya, didapati para pelajar, pelatih, guru dan pengajar menunjukkan sikap yang positif terhadap penggunaan dan kemajuan sains dan teknologi. Pelajar sekolah asrama, terutama MRSM, menunjukkan sikap yang paling positif. Sungguhpun kurikulum di sekolah dan di institusi latihan dianggap sesuai dan relevan, teknik pengajaran dinilai kurang positif. Pengajaran lebih tertumpu kepada situasi-situasi di dalam bilik darjah dan kurang luas menggunakan komputer dan internet. Bahan bacaan dan alat bantu mengajar masih belum mencukupi. Ibu bapa dan agensi luar memberi sokongan positif terhadap anak-anak mempelajari sains dan teknologi namun mereka tidak terlibat secara langsung dan aktif dalam pembudayaan itu. Berasaskan dapatan kajian, satu piawai tentang proses pembudayaan sains dan teknologi dicadangkan.



LATAR BELAKANG KAJIAN
Wawasan 2020 yang diumumkan pada tahun 1991 telah mencadangkan beberapa panduan untuk kemajuan negara Malaysia dalam abad kedua puluh satu. Untuk mencapai objektif menjadikan Malaysia sebagai negara maju pada tahun 2020 (Mahathir 1991), penggunaan sains dan teknologi secara pesat amat perlu. Malaysia perlu melahirkan tenaga kerja mahir yang bukan sahaja mempunyai kepekaan terhadap profesionalismanya tetapi juga sentiasa bersedia untuk menerima perubahan. Pendidikan sebagai satu institusi sosial memainkan peranan yang penting dalam penyediaan tenaga kerja pakar, teknikal dan profesional. Pendidikan juga dapat membentuk sikap, nilai serta set minda seperti bersedia untuk menerima perubahan, inovasi serta penggunaan sains dan teknologi dalam bidang kerja dan kehidupan seharian terutamanya di kalangan generasi muda. Dari segi pembentukan sebuah negara, pendidikan menyediakan belia-belia untuk hidup sebagai warganegara yang baik. Menerusi pendidikan, asas asas kemahiran berbahasa dibentuk. Di Malaysia, kemahiran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa ibunda dibentuk dan diperteguhkan menerusi sistem pendidikan. Ini sangat penting kerana dalam konteks ledakan ilmu dan globalisasi penguasaan bahasa menjamin keyakinan seseorang warga Malaysia itu untuk berkomunikasi secara baik dan kemas. Dalam situasi tertentu konsep sosialisasi atau pembudayaan digunakan untuk merujuk kepada proses pendidikan. Secara umum, pembudayaan itu merujuk kepada proses seseorang individu menguasai ilmu pengetahuan, nilai-nilai, norma, sikap dan lain-lain. Dengan perkataan lain, ia merujuk kepada proses menghayati dan menerima budaya masyarakat di sekeliling. Menerusi pembudayaan, seseorang itu dididik menjadi manusia yang berperanan sebagai anggota masyarakat. Jadi dari segi konsep, pembudayaan adalah lebih luas daripada konsep pendidikan formal. Ia merangkumi proses-proses didikan awal di rumah sehinggalah ia didedahkan kepada agensi-agensi lain semasa remaja dan dewasa.

untuk melihat keseluruhan kajian ini bolehlah membacanya melalui link ini.(^_^).http://pkukmweb.ukm.my/~penerbit/jurnal_pdf/jdidik27-03.pdf

No comments:

Post a Comment